Hari ini hari terakhir semua umat Islam bersahur. Esok Hari Raya. Hari untuk semua orang bersuka ria, saling bermaafan antara satu sama lain. Dan pasti anak-anak akan memohon maaf dari ke dua orang tua nya.
Tapi hari ini, di hening pagi tatkala ramai yang sedang bersahur, Abah telah pergi buat selama-lama nya dari dunia fana ini. Tepat jam 4.30 pagi abah menghembuskan nafas terakhir di Specialist Puteri Johoh Bahru.
Aku redha. Kami sekeluarga redha dengan pemergian Abah. Tetapi kadangkala hati kecil terusik, tersentuh, tatkala itu bergenang air mata ini. Terkenang kan segala kenangan bersama arwah Abah. Terkenangkan suara nya di corong telefon setiap kali aku ingin pulang memandu dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, penuh dengan nasihat dan pesanan supaya aku berhati-hati ketika memandu. Kadang tumpah juga air mata ini terkenangkan hasrat nya ingin melihat aku mendirikan rumah tangga.
Arwah Abah meninggal disebabkan salah satu pembuluh darah jantungnya pecah. Dan menurut Doktor yang merawat Abah, keadaan jantungnya sebenarnya sudah kronik. Selama arwah hidup, tidak pernah sekali Abah mengadu sesak nafas atau sakit dada. Seingat aku arwah Abah hanya disahkan sakit darah tinggi. Mungkin arwah Abah tidak pernah mengadu sewaktu dadanya sakit, atau mungkin arwah Abah menganggap sakit nya tidak teruk. Arwah Abah memang agak degil untuk pergi ke klinik atau hospital. Malah ketika kadar darah tinggi nya begitu tinggi pun arwah tidak mahu ditahan di hospital. Mungkin arwah Abah tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.
Arwah Abah yang ku kenali sangat penyayang dengan anak-anak. Walaupun ketika aku kecil arwah agak garang dengan ku. Arwah paling tidak berkira untuk menyediakan keperluan kami untuk berlajar. Bagi Abah, dia sanggup berkorban apa saja untuk melihat anak-anaknya berjaya. Alhamdulillah, tidak salah rasa nya aku katakan, anak-anak Abah kini sudah berjaya. Cuma adik ku yang bongsu sedang menantikan keputusan PMR nya.
Arwah pergi terlalu cepat ku rasa kan. Arwah tidak terlantar sakit. Ramai yang cakap arwah beruntung meninggal di bulan Ramadhan, hari Jumaat hari yang mulia. Alhamdulillah, mungkin arwah tidak mahu menyusahkan anak-anaknya sekiranya arwah terlantar sakit. Melihat wajah arwah sebelum dikebumikan seolah-olah meilhat arwah sedang tidur. Lain sekali ku lihat wajah Abah. Wajah nya seolah seperti tersenyum, air muka nya nampak puas. Mungkin arwah Abah puas dalam hidup nya dapat membesarkan anak-anaknya. Wajah nya nampak bersih berseri-seri. Semoga arwah Abah tergolong dalam roh orang-orang yang beriman.
Abah, aku janji akan menjaga Emak dan adik-adik sebaik yang mungkin. Semoga arwah Abah tenang di alam barzakh. Semoga roh Abah dicucuri rahmat dariNya, dan semoga Abah ditempatkan di dalam Syurga bersama para syuhada'. Amin.
Al- Fatihah to arwah Abah, Adnan bin Taimon.